Aku sedang mencuci pinggan dan mug ketika Amirul datang memeluk pinggangku dari belakang. Batang leherku menjadi mangsa bibirnya.
"Abang, please... Mira tengah cuci pinggan ni." Aku bersuara. Amirul tidak menjawab, ciumannya sebentar tadi terhenti berganti dengan menyangkut dagunya dibahuku. Aku hanya mampu tersenyum, membiarkan pelukannya itu, aku terasa nyaman dan disayangi. Suamiku yang manja, desisku didalam hati.
Amirul melepaskan pelukannya apabila telefon tangannya menjerit supaya dijawab. Express Music 5800 dikeluarkan dari saku seluarnya dan berlalu ke ruang tamu untuk bercakap dengan pemanggil. Aku selesai membilas pinggan, dan keluar ke ruang tamu. Suamiku baru selesai bercakap ditelefon, wajahnya agak murung.
"Siapa, bang?" tanyaku sambil berjalan mendapatkan Amirul.
"Along." ringkas jawapannya.
"Kenapa dengan along? Semua okey ke?" tanyaku lagi.
"Along nak pinjam duit." jawab suamiku teragak-agak, tidak berani berpaling mengadap diriku. Aku bergerak ke arahnya.
"Bukankah baru minggu lepas abang dah bagi Along RM300? Takkan dah habis?"
"Sayang tahukan Abang Zaid accident bulan lepas. Kereta siap minggu lepas, tak cukup duit untuk upah baiki sebab tu along minta pinjam dulu. Yang ni untuk duit belanja Along, susu Sara dan Hanif."
"Takkan Abang Zaid tak beri duit untuk Along belanja? Itu tanggungjawab dia sebagai suami, memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya."
"Sayang, ini pun tanggungjawab abang juga sebagai satu-satu anak lelaki tunggal dalam keluarga, membantu adik beradik dalam kesusahan. Along tak cukup duit, abang tolonglah."
"Tapi, bang..." baru sahaja aku mahu membela hujahku, Amirul segera menarik tanganku dan berkata,
"Sayang, cukuplah. Abang tak mahu kita gaduh pasal ni okey. Lagipun Along janji akan bayar balik bila dapat klaim insurans tu. Sayang tak kasihan pada Sara dan Hanif." Wajahku dibawa ke dadanya, dahiku dicium lembut. Aku tak mampu lagi membalas. Benar katanya, masakan disebabkan masalah orang lain, kami suami isteri terpaksa bermasam muka. Tetapi sampai bila situasi ini akan berterusan, hampir setahun kami berkahwin, pantang musim gaji, telefon suamiku tak henti berlagu.
Lamunanku terhenti bila mendengar Amirul bersuara,"Abang nak keluar sekejap. Sayang nak apa-apa?" Aku pantas menggelengkan kepala, menghantar pemergiannya itu dari pintu rumah.
Huh! Aku akui, betapa bertuah diriku memiliki suami sebaik Amirul, taat kepada Allah, menghormati emak,ayah,mama dan papa, menyanyangiku sepenuh hatinya, dan mengasihi semua orang sekelilingnya. Malangnya dia terlalu baik, sehingga tidak dapat membezakan antara baik dan buruk dalam tindakannya itu, terlalu sukar untuk berkata tidak ketika keluarga, mahupun sahabatnya meminta sesuatu daripadanya. Terutamanya wang, sehinggakan aku pula menjadi bank kepada suamiku itu yang kehabisan wang untuk berbelanja mengisi minyak kereta untuk ke tempat kerja. Bukan aku menghalang suamiku itu untuk membantu orang dalam kesusahan, tetapi berpada-padalah dan bergantung pada kemampuan serta keperluan seseorang itu. Ini tidak, kadang-kadang untuk orang membeli aksesori kereta mereka pun diberinya. Entah berapa ribu telah dihabiskan untuk memberi 'hutang' kepada mereka yang sekalipun tidak pernah membayar balik, malah tanpa segan silu menambah hutang.
Suamiku bukan mesin pencetak wang! Kami berdua hanya pemegang diploma sahaja, kerja, gaji cukup-cukup untuk kami berdua setelah membayar rumah, kereta, insurans, bil dan pelbagai perbelanjaan lain.
No comments:
Post a Comment